BISSMILAHIRRAHMANIRAHIM
Sedarkah kita nikmat yang banyak yang dikurniakan Allah itu seringkali dilupakan dan disalahgunakan oleh kita. Sering kali dengan nikmat yang dikurniakan itu, kita melakukan kekufuran terhadap Allah. Amat sedikit sekali yang bersyukur dengan nikmat-nikmat Allah itu. Firman Allah SWT :
"Dan Dialah yang telah menciptakan bagimu pendengaran, penglihatan dan hati nurani, tetapi sedikit sekali kamu bersyukur." (Surah Al-Mu'minun, ayat 78)
Sabda Rasulullah SAW :
"Daripada Ibn Abbas RA berkata : telah bersabda Rasulullah SAW : "dua nikmat yang kebanyakan manusia sering lupa dan lalai, iaitu nikmat sihat dan nikmat masa lapang." (riwayat Bukhari)
2 nikmat yang sering dilupakan
Dalam hadis di atas, telah dinyatakan kepada kita bahawa nikmat sihat dan nikmat masa lapang adalah dua nikmat yang manusia sering lupa dan leka daripadanya. Bagaimana dua nikmat ini sering dilupakan?
Nikmat sihat
Nikmat sihat adalah satu nikmat yang sangat-sangat bernilai dalam kehidupan manusia. Malah, mungkin nikmat yang paling berharga setelah nikmat Iman dan nikmat Islam. Dengan nikmat sihat, manusia dapat melakukan pelbagai aktiviti dan dapat hidup dengan sempurna.
Cuba bayangkan, seorang yang kaya raya tetapi sakit, mempunyai rumah besar dan selesa tetapi kehidupannya asyik derita kerana sakit yang dihadapi, dihidangkan pula kepadanya makanan dengan lauk pauk yang enak dan lazat tetapi dia sendiri tidak dapat merasainya kerana boleh memudaratkan. Adakah kemewahan yang dimilikinya itu memberi makna lagi kepada kehidupannya? Tidak sama sekali. Kemewahannya itu tidak memberi apa-apa makna kepada kehidupannya. Malah, dia mungkin merasakan seolah-olah tidak pernah mengecapi apa-apa kemewahan pun dalam kehidupannya disebabkan satu nikmat yang kurang daripada hidupnya, iaitu nikmat sihat.
Allah telah mengurniakan manusia dengan nikmat sihat dengan tujuan agar manusia dapat memanfaatkannya untuk beribadat kepada-Nya sesempurna mungkin. Tetapi malangnya, ada juga manusia yang pada waktu sihatnya tidak pula ia menggunakan nikmat sihat itu dengan memperbanyakkan beribadat kepada Allah. Malah, digunakan pula nikmat itu untuk melakukan maksiat kepada Allah. Ini merupakan antara bentuk bagaimana nikmat sihat dilalaikan. Apabila waktu sakit, barulah mereka kembali mengingati Allah.
Bagaimana bersyukur dengan nikmat sihat?
Memperbanyakkan ibadat kepada Allah sementara kemampuan masih ada. Apabila tiba waktu sakit, manusia mungkin tidak lagi mampu untuk beribadat dengan sesempurna mungkin. Jadi, pada waktu sihat lah waktu yang baik untuk menzahirkan kesyukuran kita kepada Allah atas nikmat yang dikurniakan.
Nikmat masa lapang
Nikmat masa lapang merupakan antara berbagai-bagai nikmat yang telah dikurniakan Allah kepada manusia.Kadang-kadang, ada waktu yang kita merasakan sangat-sangat sempit disebabkan bebanan kerja yang bertimbun. Masa kita sangat terbatas. Sampaikan kita tidak ada waktu untuk berhibur, waktu untuk beribadat pun menjadi semakin sempit. Tetapi, kadang kala pula, kita merasakan sangat-sangat lapang, kerana bebas daripada apa-apa kerja, bebas daripada apa-apa pertanggungjawaban dunia. Waktu lapang inilah nikmat yang dikurniakan Allah kepada kita untuk kita manfaatkan dengan sebaiknya.
Perkara yang boleh melalaikan kita daripada nikmat masa lapang. Boleh jadi masa lapang kita dilalaikan dengan melepak, tanpa ada perkara-perkara yang berfaedah yang diisi padanya. Tetapi, yang lebih penting untuk ditekankan, bagaimana menjadikan masa lapang kita terisi dengan baik dan tidak terbuang dengan sia-sia. Dan juga bagaimana caranya untuk kita bersyukur dengan nikmat masa lapang ini.
Menjadikan masa lapang terisi dengan baik juga merupakan cara kesyukuran kita pada Allah terhadap nikmat masa lapang ini. Waktu lapang kita sepatutnya diisi dengan perkara-perkara yang boleh mendekatkan lagi diri kita kepada Allah SWT. Isikan masa lapang kita dengan berbincang perkara-perkara ilmu, hadirkan diri ke majlis-majlis ilmu. Dan, perbanyakkanlah ibadat kita pada ketika waktu lapang ini, kerana peluang untuk memperbanyakkan ibadat ini tidak akan kita dapati pada waktu di mana kita sibuk dengan pelbagai urusan.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, ingin saya nukilkan kata-kata daripada Ibn Jauzi :
"Sesungguhnya dunia itu ladang bagi akhirat, dan padanya perniagaan yang keuntungannya akan terhasil ketika di akhirat, barangsiapa yang menggunakan waktu lapangnya dan kesihatannya pada ketaatan kepada Allah maka dia orang yang bernasib baik, dan barangsiapa yang menggunakannya (waktu lapang dan kesihatan) pada kemaksiatan kepada Allah maka dia orang yang tertipu."
Dan, cukuplah kata-kata di atas sebagai pembakar semangat dan pendorong buat kita semua dalam memanfaatkan nikmat-nikmat Allah dan menggunakannya untuk ketaatan kepada Allah, dan seterusnya mencapai kejayaan di hari akhirat kelak. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment